Friday, October 9, 2009

Islam agama terbuka dan sederhana

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Sebelum berbincang lebih lanjut, saya ingin membawa ingatan pembaca mengenai perbincangan baru-baru ini di sebuah stesen TV swasta antara saya dengan seorang tokoh ekonomi terkenal. Ketika saya sedang memberikan pendapat dari sudut pandangan Islam, tiba-tiba tokoh ekonomi itu menyuruh saya supaya jangan kaitkan isu yang dibincangkan dengan agama kerana ia akan merosakkan kualiti perbincangan pada hari tersebut. Beliau berpendapat jika dibawa masuk pandangan agama Islam, perbincangan tidak akan membawa makna dan tidak berkesudahan. Persoalan saya apakah salahnya tentang agama Islam itu sendiri? Tidakkah dengan memberikan pandangan dari sudut asas agama Islam itu sendiri bermakna kita dapat menyuraikan persoalan yang ditimbulkan kerana sifat Islam itu sendiri adalah terbuka dan sederhana.


Terbuka dalam konteks perbincangan ini ialah moderat, tidak jumud dan beku, tetapi sentiasa berlapang dada. Sederhana dalam erti kata tidak terlalu ekstrim atau terlalu liberal sehingga kita bebas melakukan apa sahaja tanpa batas. Pendek kata, amalan terbuka dan sederhana adalah kembali menjadi fundalmentalis. Berpegang teguh kepada ajaran agama dalam semua aspek kehidupan.


Islam tidak pernah menolak kebaikan meskipun ia datang dari orang lain, atau agama lain. Namun, bagi mereka yang memahami Islam, sudah tentu akan berkata bahawa agama Islam itu sudah penuh dengan hikmah dan kebaikan tanpa perlu melihat pada orang lain. Tetapi disebabkan oleh hari ini orang Islam tidak mahu mengkaji agama sendiri, apatah lagi memahami, maka mereka seolah-olah ternampaklah ‘kekurangan dan kelompongannya’. Mereka lebih sibuk mengkaji teori-teori atau pendapat orang lain. Justeru, terpaksalah kita menyarankan tidak salah melihat kebaikan pada orang lain. Pun begitu Islam tidak ada masalah untuk menerimanya. Belajarlah setinggi manapun, di tempat manapun, asalkan pandai membawa diri, hatta sampai ke bulan. Begitulah sifat agama Islam.


Cuba kita bayangkan jika Islam itu agama yang esktrim, jumud dan beku, tidak berdikari, adakah ia mampu untuk menarik pengikut seramai 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia pada hari ini. Terletak nombor dua selepas agama Kristian dalam jangkamasa lebih kurang 1400 tahun. Satu agama agak baru, tetapi begitu cepat berkembang dalam sejarah tamadun agama manusia. Malah tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tamadun agama lain. Sebelum Islam hadir di muka bumi ini telah wujud agama yang lebih ‘senior’ seperti Hindu, Buddha dan Kristian. Ini tidak termasuk agama-agama langit (samawi). Kewujudan agama lain, hampir sekali ganda yakni lebih daripada 2500 tahun. Persoalannya kenapa Islam begitu cepat berkembang? Jawapan, Islam mengamalkan kesederhanaan dan keterbukaan.


Pakailah atau ikutlah fesyen apa sekalipun, Islam tidak melarang, asalkan menutup aurat. Makanlah apa makanan sekalipun, dari mana sekalipun, asalkan halal. Begitulah dalam aspek yang lain. Tetapi, paling baik carilah identiti sendiri, kenapa perlu meniru orang lain.


Malangnya, hari ini, disebabkan oleh beberapa kejadian yang berlaku, seperti peristiwa 11 September yang belum tentu kebenarannya, pengebom berani mati di Palestin dan sebagainya, Islam dilabelkan dengan berbagai-bagai tohmahan negatif. Lebih malang lagi, umat Islam turut mengiakannya seolah-olah bersetuju. Kita turut terikut-ikut dengan rentak tari yang dicanangkan oleh barat dan Yahudi. Jarang yang mengatakan bahawa tindakan tersebut adalah wajar sebagai membalas balik kekejaman Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat di Palestin. Maka berkempenlah kita di seluruh negara tentang konsep jihad dalam Islam. Berkatalah mereka bahawa, jihad yang sebenar bukan hanya bererti berperang di medan, tetapi juga jihad ekonomi, jihad merubah diri dan sebagainya. Maka berbagai seminar dan buku diadakan untuk menidakkan tuduhan jihad itu adalah perang. Akhirnya, kita menjadi manusia defensif. Kenapa berlaku sedemikian? Kita tidak perlu menerangkan bahawa jihad dalam Islam, bukan hanya di medan perang, tetapi juga di medan yang lain. Semua orang sudah maklum, hatta orang bukan Islam. Sejarah menunjukkan bahawa minoriti bukan Islam hidup senang lenang dalam sebuah negara Islam. Berbanding dengan minoriti Islam hidup di bawah pemerintahan bukan Islam. Bangsa Yahudi hidup aman damai di bawah pemerintahan kerajaan Islam Abbasiyah dan Uthmaniah sedangkan mereka tersiksa di Eropah pada masa yang sama.


Kenapa kita mesti respon sedemikian. Kenapa kita tidak kata adalah wajar orang Islam bertindak sebagai tindakbalas pihak yang merancang membunuh orang Islam sesuka hati. Umat Islam yang tidak berdosa dibunuh hari-hari, bila satu orang bukan Islam yang dibunuh maka seluruh dunia bising.


Kita perlu sedar, semua orang tahu atau satu dunia tahu bahawa semua agama, terutama agama Islam tidak membenarkan sama sekali kita bertindak ganas terhadap orang lain apatah lagi membunuh. Orang bukan Islam pun memang sedia maklum. Jika tidak, bagaimana ia boleh begitu cepat berkembang dalam jangka masa yang singkat. Jika agama Islam suka bunuh orang adakah ia akan mendapat perhatian, sedangkan agama lain telah lama bertapak?


Inilah keindahan dan kecantikan agama Islam. Islam tidak sesekali menganiaya, apatah lagi membunuh orang lain. Sebagai contoh, sebelum Salahuddin al-Ayubi menawan Palestin, ketika umat Islam diperintah oleh bukan Islam. Apa terjadi? Islam dibunuh dan dianiaya. Ada yang menceritakan sehingga darah umat Islam mengalir sampai ke paras lutut. Namun, bila Salahuddin Al-Ayubi berjaya menawan Palestin, orang bukan Islam yang dulunya membunuh umat Islam diampunkan. Malah, tentera bukan Islam yang cedera kesakitan turut diberikan rawatan. Mereka tidak dibunuh. Sekali pandang, kita fikir memang tidak adil. Kenapa orang Islam sanggup memaafkan mereka? Kenapa orang Islam tidak membalas dendam terhadap perbuatan mereka?


Jawapannya, mudah! Inilah Islam, sebuah agama yang sederhana dan terbuka. Kesederhanaan dan keterbukaannya menjangkaui sempadan tanpa mengira siapa mereka, walau musuh sekalipun. Asalkan mereka mahu bertaubat atau ingin berubah, tidak ada dalam kamus Islam istilah membalas dendam.


Kita mesti ingat, Islam datang ke dunia ini dalam keadaan dunia yang begitu ekstrim, huru hara dan jumud. Tidak kurang yang terlalu terbuka sehingga merosakkan moral manusia itu sendiri. Namun, bila Islam datang, semua berubah. Inilah keajaiban agama Islam. Agama yang belum lengkap di Mekah selama 13 tahun, tetapi terus mendapat sambutan masyarakat Arab Jahiliyyah. Sedangkan kita tahu ketika itu, Al-Quran masih diwahyukan, Islam masih belum sempurna. Apatah lagi ketika itu, Islam tidak dapat berkembang biak dengan baik kerana mendapat tentangan hebat daripada orang bukan Islam. Ia disebarkan secara rahsia.


Persoalan saya, kenapa Islam terus mendapat perhatian. Kejadian ini tidak pernah berlaku dalam sejarah agama sebelum ini. Biasanya agama-agama sebelum Islam terpaksa menunggu sehingga buku karangan pemimpin mereka siap dikarang. Penganut yang ingin mendekatkan diri dengan Tuhan dilarang dari berkahwin manakala yang lain lepas bebas dari tanggungjawab dengan jaminan syurga. Tetapi Islam tidak sedemikian. Islam masih belum lengkap ketika wahyu masih turun di Mekah, tetapi terus mendapat perhatian. Jawapannya, sekali lagi kerana Islam bersifat terbuka dan sederhana. Kecemerlangan dan kegemilangan akhlak Nabi Muhammad SAW sudah cukup memikat hati masyarakat ketika itu walaupun Islam masih belum sempurna lagi di Mekah, sehinggalah berlaku hijrah ke Madinah selepas itu.


Hari ini muncul gerakan di kalangan umat Islam yang mencabar kewibawaan agamanya. Islam disifatkan agama yang menyusahkan, jumud dan sebagainya. Maka keluarlah pandangan yang berbagai-bagai sehingga terkeluar daripada landasan sebenar. Justeru, saya menyeru kepada semua, jika mahu lihat keindahan pada sesuatu, terutama agama, maka kajilah, fahamilah. Saya yakin kita akan bertemu dengan kebenaran, keterbukaan dan kesederhanaan.

No comments:

Post a Comment