Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ungkapan insan cemerlang ummah terbilang sentiasa meniti di bibir kita apabila ianya dijadikan tema Maulid Nabi dan Sambutan Tahun Baru Hijrah tahun ini. Tahukah kita apakah makna yang tersurat dan tersirat di sebalik pemilihan tema ini. Ramai yang tahu perkataan cemerlang dan terbilang. Namun, tidak ramai yang berusaha untuk mencapainya. Cemerlang membawa erti kita berusaha mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam semua aspek kehidupan. Kecemerlangan inilah yang akan menjadi kita orang terbilang. Menjadi tumpuan dan perhatian orang lain. Mereka mahu belajar dari kita resepi kejayaan mencapai kecemerlangan.
Namun, untuk mencapai kecemerlangan memerlukan beberapa syarat seperti yang Allah nukilkan dalam Al-Quran yang berbunyi:
Kamu adalah umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah (Al-Imran: 110)
Istilah yang digunakan dalam ayat ini merujuk kepada umat cemerlang dan terbilang ialah khaira ummah. Pra syarat menjadi umat cemerlang ialah mengamalkan kebaikan dan menyuruh orang lain melakukan perkara yang sama serta mencegah mereka daripada melakukan perkara tidak baik atau kejahatan dengan asas beriman kepada Allah. Syarat menjadi cemerlang bukan bersifat individualistik malahan kita bertanggungjawab membawa orang lain bersama-sama menuju kecemerlangan.
Malangnya hari ini, umat Islam masih lagi jauh untuk berada di dalam tahap kecemerlangan yang dimaksudkan. Kadar kemiskinan kalangan negara-negara Islam masih tinggi. Kebanyakan Negara Islam dikategorikan dalam Negara sedang membangun. Belum ada lagi negara Islam yang mencapai tahap Negara maju. Bagaimana hendak maju jika budaya membaca di kalangan umat Islam amat rendah. Ditambah pula dengan perpecahan yang amat membimbangkan.
Sedangkan ayat Quran yang pertama sekali diturunkan ialah ayat IQRA membawa makna BACALAH. Untuk melangkah lebih jauh, umat Islam mesti rajin membaca dan mencari ilmu. Namun kajian menunjukkan umat Islam membaca beberapa helai sahaja dalam setahun, sedangkan orang lain membawa ratusan dan ribuan helai setahun.
Umat Islam dihimpit dengan sifat malas membaca apatah lagi untuk menyelidik. Bila sudah malas membaca bagaimana pula kita hendak wujudkan budaya berfikir atau dengan lebih tepat lagi generasi ulul albab(orang yang memiliki fikiran). Berfikir itu adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran.
Semua ini berlaku disebabkan oleh kejahilan kita dalam memahami tuntutan hidup beragama. Lahir sahaja Islam, tetapi tidak berusaha untuk memahami tuntutan agama Islam. Malahan yang lebih menyedihkan ada yang menentang agamanya sendiri. Jika mereka faham tuntutan agama, sudah tentu tidak sukar untuk cemerlang. Memetik kata-kata Ibrahim Adham, 10 perkara yang menyebabkan kita tidak boleh menjadi cemerlang ialah:
Kita kenal Allah tetapi tidak menunaikan hakNya
Kita kenal Rasul, tetapi tidak mengikut sunnahnya
Kita membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengannya
Kita mengautkan nikmat Allah, tetapi tidak bersyukur
Kita percaya syaitan itu musuh, tetapi tidak berusaha melawannya
Kita percaya mati itu benar, tetapi tidak bersedia
Percaya syurga tetapi tidak berusaha untuk memasuki
Percaya kepada neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhi
Percaya kepada menghantar rakan ke kubur tetapi tidak ambil pengajaran
Kita bangun dari tidur, cerita aib orang lain, tetapi lupa aib diri sendiri
Bayangkan kalau benar-benar kita hanyati 10 perkara tersebut, alangkah hebatnya kita. Ini tambah pula dengan penghayatan memahami keutamaan (priority) dalam hidup seperti berikut:
Mendahulukan ilmu atau kepentingan yang sudah pasti berbanding perkara yang masih ragu-ragu
Mendahulukan ilmu yang banyak membawa manfaat berbanding dengan ilmu kurang manfaat
Mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan individu
Mendahulukan kepentingan yang berterusan berbanding dengan kepentingan sementara
Mendahulukan kepentingan utama berbanding yang rasmi
Mendahulukan kepentingan masa depan berbanding kepentingan semasa yang kurang utama
Mendahulukan kepentingan yang banyak berbanding dengan yang sedikit
Pendek kata, Islam membuka pintu seluas-luasnya untuk kita menjadi manusia yang terbaik, yang paling cemerlang. Dengan sebab itu, kita sentiasa diberikan pilihan untuk menjadi yang terbaik. Misalnya, sembahyang. Ya, semua tahu bahawa ia wajib dikerjakan. Tetapi pilihan terbaik untuk kita ialah sembahyang berjamaah lebih baik dari sendirian. Berjamaah lebih banyak pahala. Pahala akan menjadi semakin bertambah jika dikerjakan sembahyang berjamaah di dalam masjid berbanding dengan berjamaah di surau atau di rumah.
Begitu juga dalam soal kerja. Rasullullah SAW memberikan peringatan kepada kita, supaya hari ini mesti lebih baik dari semalam. Esok mesti lebih baik dari hari ini. Ringkasnya, mesti ada peningkatan hari ke hari, minggu ke minggu, bulan ke bulan, tahun ke tahun sehingga akhir hayat kita. Contoh lain dalam soal sembelihan binatang untuk dimakan, kita diingat agar menggunakan senjata atau pisau yang tajam untuk melakukan sembelihan supaya kerja dapat dijalankan dengan pantas dan tidak menyakit binatang yang disembelih.
Pendek kata, Islam sentiasa memberikan pilihan yang terbaik mengikut turutan atau keutamaan 1, 2, 3 dan seterusnya untuk menjadi manusia cemerlang. Tetapi hairan kenapa masih ada memilih yang buruk dan tidak membawa hasil. Inilah kelemahan kita hari ini, kecenderungan untuk memilih yang kurang baik daripada yang terbaik.
Justeru sudah sampainya, kita memilih yang terbaik. Berlumba-lumba untuk menjadi terbaik, barulah kita menjadi the best of the best atau cream of the cream, yang terbaik daripada yang terbaik. Ia tidak sukar untuk dilakukan sekiranya kita bertekad untuk mengubah perangai atau attitude. Seperti kata Pendeta Zaba, rupa tidak boleh diubah tetapi perangai sudah tentu boleh. Jika perangai sudah diubah, InsyaAllah kita akan berjaya dan menjadi orang hebat untuk merealisasikan ungkapan cemerlang, gemilang dan terbilang.
Akhirnya, memetik kata-kata Saidina Umar Al-Khattab, umat Islam hanya akan cemerlang jika bersama Islam. Sekiranya Islam ditinggalkan dan budaya lain yang dipilih pasti akan mereka akan mundur kebelakang. Cemerlang yang dimaksud ialah cemerlang fizikal, mental, spiritual dan shaksiah yang berpaksikan kepada Islam atau lebih tepat lagi cemerlang dunia, cemerlang akhirat.
mohon dijadikan panduan ya ustaz
ReplyDelete