Friday, October 9, 2009

Syawal bulan kesyukuran

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Syawal kembali menjelma. Tua, muda, anak-anak kecil, miskin dan kaya semuanya bergembira menyambut syawal yang mulia. Malangnya, tidak ramai kalangan anak muda kita menyambut syawal mengikut acuan dan budaya kita yang sebenar. Syawal lebih kepada pesta bersuka ria setelah sebulan dikatakan ‘penat’ berpuasa. Syawal ibarat bulan membalas dendam.


Bulan syawal hendaklah difahami dalam konteks bulan ibadat, bukannya bulan adat. Kedudukan syawal adalah sama seperti bulan-bulan lain. Bezanya, di bulan syawal kita tidak lagi berpuasa berbanding bulan Ramadhan. Akhlak kita tetap sama. Tidak timbul soal bulan puasa bulan berjihad, bulan syawal bulan berjahat. Bulan puasa bulan menjadi mujahid, bulan syawal kita menjadi ‘mujahat’.


Islam sebagai satu cara hidup, tidak menetapkan bahawa Ramadhan satu-satunya bulan kita menjadi seolah-olah seperti malaikat, yakni bulan yang perlu dihormati, sedangkan bulan lain tidak perlu berbuat demikian. Secara prinsipnya, apa jua hari dan bulan yang dilalui, adalah bulan untuk melakukan ibadat. Justeru, tidak timbul isu kita hanya perlu menjadi baik di bulan Ramadhan dan berperangai pelik di bulan syawal.


Kemuliaan syawal, selain Ramadhan, diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata, hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat”


Idul fitri dalam bahasa Arab membawa maksud kembali kepada fitrah. Amalan terbaik yang kita lakukan di bulan Ramadhan hendaklah dijaga jangan sampai tercemarkan kerana terlebih seronok di bulan syawal. Kita tidak mahu amalan Ramadhan seperti membaca dan bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi, menjadi hangus kerana terlalu ghairah menyambut syawal. Seboleh-bolehnya, pastikan kita sentiasa bersih serta suci bagaikan bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. Inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah.


Justeru, ketibaan syawal perlu disambut dengan penuh kesyukuran, bukannya penuh dengan perkara yang melalaikan. Bulan syawal adalah bulan kemenangan, jangan dikotori dengan kemungkaran. Allah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur” (Surah Al-Baqarah: ayat 185)

Di sini saya ingin gariskan beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh anak-anak muda kita dalam menyambut ketibaan syawal.


Pertama, perlu diingatkan, kalendar Islam bermula dengan waktu maghrib, yakni jam tujuh malam ke atas, bukan jam 12 tengah malam. Maksudnya, sambutan syawal hendaklah dimulakan apabila masuknya waktu maghrib. Pakailah baju baru raya ketika itu untuk menunaikan sembahyang maghrib berjamaah (di rumah mahupun di masjid).


Selama ini kita selalu mengamalkan amalan terbalik yakni, kita berpakaian baru menunaikan solat sunat hari raya dan bukannya ketika solat fardu. Kita sepatutnya memberikan terbaik kepada Allah SWT dalam amalan fardu seperti solat fardu. Pakailah pakaian sebaik mungkin, sebaru mungkin atau sewangi mungkin, ketika solat fardu, apatah lagi ketika masuknya malam raya pada waktu maghrib. Selepas itu, kita panjangkan yang pakaian itu untuk solat sunat, termasuk solat sunat hari raya. Jangan terbalikkan, dengan bersungguh-sungguh terhadap amalan sunat dan mengabaikan fardu.


Selepas selesai menunaikan solat maghrib, alangkah baik jika anak-anak muda dapat bertakbir beramai dengan warga emas dan anak-anak yang lain, sementara menunggu waktu Isyak. Setelah masuk waktu Isyak, kita sambung sambutan raya dengan menunaikan solat Isyak secara berjamaah. Kemudian kita bertakbir dan bertahmid lagi memuji Allah SWT. Jangan biarkan malam raya itu berakhir dengan begitu sahaja, sunyi sepi.


Serikan malam raya dengan bertakbir dan bertahmid, dalam apa jua aktiviti yang dilakukan, sama ada sedang mengemas rumah, memasak dan membuat persiapan hari raya. Hidupkan masjid, surau dengan rumah dengan takbir dan tahmid. Begitu juga jika kita berada di jalanan atau dalam perjalanan menuju kampung halaman. Alangkah indahnya, kedengaran takbir dan tahmid di mana sahaja kita berada.


Banyak hadis menceritakan kelebihan menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: “Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredhaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir”. Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda:

“Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid” (Hadis riwayat Abu Hurairah r.a).

Ini bermakna, seseorang remaja muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah SWT bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.


Amalan ziarah-menziarahi amat baik juga diamalkan pada malam raya, selain keesokan harinya. Kunjung-mengunjungi dari rumah ke rumah pada malam tersebut sambil bertakbir beramai-ramai. Ia bukan hanya dapat mengeratkan tali silaturrahim sesama kita, tetapi menunjukkan kesyukuran yang teramat sangat kepada Allah SWT, terutama kepada tuan rumah.


Keesokan hari pula, bangunlah awal untuk mandi sunat hari raya dan bersiap sedia menunaikan solat subuh berjamaah. Selepas subuh, teruskan bertakbir dan bertahmid sehingga fajar menjelma. Ingat, kita disunat agar bersarapan terlebih dahulu sebelum ke masjid. Kemudian, kita bersiap sedia dengan pakaian baru beserta wangi-wangian.


Sebelum pergi ke masjid, pastikan kita telah menemui ibubapa untuk memohon ampun dan maaf terhadap mereka. Cium tangan dan peluklah mereka. Ucapkan Selamat Hari Raya, beserta permohonan maaf. Ia juga boleh dilakukan pada malam raya tersebut. Namun, jika ibubapa kita telah tiada, doakan kesejahteraan terhadap mereka. Selepas solat sunat aidil fitri, ziarahlah kubur sedekah al-Fatihah, sebagai tanda ingatan yang tidak pernah padam.


Selesai menunaikan solat sunat hari raya, terus amalan ziarah-menziarahi. Bermaaf-maafan terutama kepada orang tua dan rakan taulan sesama kita. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah SWT.


Pendek kata, kita hendaklah mengatur perjalanan dan pergerakan kita sepanjang 1 syawal. Jangan biarkan masa terbuang dengan sia-sia. Jika berkemampuan, amat dituntut untuk menyempurnakan puasa enam di bulan syawal kerana fadhilat amat besar. Mudah-mudahan syawal tahun ini akan menjadi kita yang terbaik untuk bertemu Ramadhan dan syawal tahun depan.

1 comment:

  1. MGM Resorts Casino and Racetrack - Mississippi Travel - JTHub
    The MGM 공주 출장샵 Grand 시흥 출장샵 Casino and Racetrack located in Tunica, Mississippi. The hotel and resort features a total of 안동 출장마사지 4,000 guest rooms and 포항 출장안마 suites, 의정부 출장마사지 with a

    ReplyDelete