Friday, October 9, 2009

PERANAN KITA TERHADAP MUALAF

Oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah

ISTILAH mualaf atau orang yang memeluk Islam disebut dalam al-Quran. Ini bermakna, menjadi mualaf atau gelaran mualaf itu adalah satu kemuliaan kerana mereka ibarat kanak-kanak yang baru lahir, bersih daripada dosa dan noda. Mualaf bukanlah golongan kelas kedua atau ketiga, tetapi mereka adalah golongan istimewa yang perlu diberikan perhatian. Malangnya, golongan ini selalu dilupakan. Ingatan Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. (Surah At-Taubah: 60)

Perlu diingatkan bahawa, Islam bermula dengan mualaf. Setelah Nabi Muhammad SAW diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikut Rasulullah SAW adalah bergelar mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib kerana beliau memeluk Islam ketika masih di bawah umur yakni ketika usia remaja, yang lainnya pula berada dalam usia belia. Contoh Saidina Ali ini jelas menunjukkan betapa remaja boleh berperanan lebih jauh dan menjadi aset kepada agama, bangsa dan negara, sekiranya mereka benar-benar insaf akan tanggungjawab dan memahami penciptaannya oleh Allah SWT, bukan sekadar main-main.


Penglibatan remaja dan belia di zaman awalan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali. “Mualaf-mualaf” muda ini melibatkan diri secara aktif bersama-sama Rasulullah SAW. Perjuangan ini disambung oleh generasi seterusnya sehinggalah Islam berkembang ke seluruh dunia, tidak ketinggalan turut sampai ke Alam Melayu. Orang Melayu yang dahulunya beragama Hindu-Buddha, turut menjadi mualaf apabila mereka menerima Islam sebagai cara hidup, tidak kira dalam kategori usia apa sekalipun. Justeru, istilah mualaf janganlah dipandang hina kerana kita semua adalah generasi mualaf.


Mualaf berhak mendapat apa-apa yang sepatutnya menjadi hak mereka, tanpa mengira usia, warna kulit, latar belakang, kaya atau miskin. Surah At-Taubah, ayat 60 seperti yang dipetik di atas, tidak menjelaskan mualaf itu kaya atau miskin, muda atau tua, yang penting mereka layak dan berhak untuk dibantu melalui wang zakat, di samping bimbingan dan tunjuk ajar. Perbuatan menghina atau memandang rendah terhadap mereka dilarang sama sekali.


Jika mualaf itu kaya, tidak bermakna mereka tidak layak atau tidak perlu diberikan perhatian dan bantuan. Mereka tetap layak mendapat bantuan berasaskan asnaf zakat. Sama ada mereka mahu menerima atau tidak, itu persoalan lain. Bantuan tersebut perlu disalurkan sebagai tanda mengambil berat. Saya yakin mualaf yang berada (kaya) tidak akan menerima wang tersebut, sebaliknya akan mengembalikannya kepada yang berhak. Yang penting ialah “sikap ambil berat dan follow up”. Inilah sikap yang sering kali terlepas pandang.


Begitu juga kalangan mereka yang memeluk Islam pada usia remaja, perhatian berat perlu diberikan termasuk bantuan zakat dan sokongan moral. Bantuan dan sokongan ini dapat memotivasikan dan menggerakkan mereka untuk pergi berdakwah ke kawasan orang bukan Islam sebangsa dengannya.


Namun, sering kali kebajikan mualaf diabaikan. Mereka terpaksa berhadapan dengan kerenah birokrasi, hanya untuk mendapatkan bantuan RM50 atau RM100, sedangkan kita telah dimaklumkan kutipan zakat yang di Selangor dan Wilayah Persekutuan sahaja, hampir satu bilion tiap-tiap tahun. Bayangkan berapa banyakkah zakat tersebut jika dibahagikan kepada lapan bahagian?


Tambahan pula, kita tidak lagi boleh menyusun kelayakan zakat mengikut susunan berikut,

(1) fakir

(2) miskin

(3) amil

(4) mualaf

(5) hamba

(6) orang yang berhutang

(7) orang yang berjuang di jalan Allah, dan

(8) orang yang bermusafir kerana Allah.


Apakah salah kita meletakkan mualaf dalam senarai prioriti nombor satu? Kita sedia maklum bahawa golongan fakir dan miskin telah ditangani oleh banyak jabatan kerajaan lain, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, sedangkan mualaf begitu sukar untuk mendapatkan bantuan.


Mualaf merupakan aset berharga kepada perkembangan syiar Islam, apatah lagi mereka yang masih muda remaja. Bayangkan, jika jejak langkah mualaf ini turut disertai oleh ahli keluarga mereka selepas itu. Bermakna, bilangan mualaf akan bertambah berganda-ganda.


Pada hemat saya, jika mualaf itu datang daripada golongan kurang berada, tidak salah kita menyediakan mereka sebuah rumah kos rendah atau sederhana sebagai tanda bahawa inilah sebenarnya ajaran Islam yang mengambil berat soal kebajikan dan hidup mati mereka. Mualaf tidak boleh dibiarkan hidup merempat setelah mereka menerima Islam. Malangnya, setakat ini pusat latihan khas untuk mualaf pun masih belum ada. Bayangkan bagaimanakah muallaf belia remaja ini hendak pergi lebih jauh jika latihan dan ilmu mereka tidak bertambah setelah memeluk Islam.


Justeru, sudah sampai masanya mualaf diberikan perhatian yang amat serius. Pemimpin khasnya dan masyarakat umumnya, perlu disedarkan agar meletakkan martabat mualaf di tempat yang tinggi. Mualaf tidak boleh dipandang hina. Jika mereka memerlukan latihan, berikanlah latihan, jika mereka kurang ilmu, maka berikanlah ilmu, jika mereka memerlukan apa-apa jua bantuan, berikanlah kerana mereka berhak Wang zakat yang dikumpulkan mesti dibelanjakan untuk mereka. Jika tidak, kita akan disoal oleh Allah SWT di akhirat nanti.


Yang lebih penting lagi mualaf mesti mempunyai perwakilan dalam Dewan Negara. Mereka perlu dilantik menjadi senator. Mualaf tidak mahukan kuasa, yang diperlukan ialah sikap ambil berat. Ingatlah, mualaf merupakan aset besar kepada perkembangan syiar Islam. Malangnya, tidak banyak orang yang dapat melihat akan hal ini.


Akhirnya, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan, siapakah yang sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengendalikan urusan mualaf? Adakah mereka bersungguh-sungguh dalam hal ini? Adakah peruntukan wang zakat untuk mualaf benar-benar digunakan dan dibelanjakan? Apakah pula peranan kita dalam membantu dan membimbing mualaf? Dan apakah suara mualaf didengar dan diambil kira? Semua ini masih belum ada jawapannya.

4 comments:

  1. salam,
    Saya ada satu pengalaman yang sangat dramatik tentang mualaf, tetapi, disebabkan ini kisah yg melibatkan isu sensitif, saya tidak tega utk memaparkannya di sini.
    Saya harap sangat tuan dapat merespons komen ini kerana saya rasa tuan mungkin dpt membantu..
    sila e-mel saya ya..
    wansalmah1594@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum..tuan sy mau tya mengenai 1st step untuk kte memberi pengenalan tentang islam kepada seorg cina yang bergitu meminati islam...

    ReplyDelete
  3. sebelum terlupa ini email saya...myra_acik@yahoo.com
    sy berbesar hati dengan pertolongan tuan serta pandangan bernas.thanks

    ReplyDelete
  4. Mualaf perlu berpesatuan dan membela sesama sendiri disamping memberi semangat (motivasi) kepada mereka yang ingin kembali murtad keagama asal (kafir) spt kes terbaru Siti Fatimah....

    ReplyDelete